Showing posts with label PRN Sarawak. Show all posts
Showing posts with label PRN Sarawak. Show all posts

Wednesday, May 11, 2016

Kejayaan Di Sarawak, Suntik Keyakinan Baharu Kepada BN


Majlis Senator Malaysia (MSM) menyifatkan kejayaan cemerlang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 sebagai bukti kesetiaan dan sokongan rakyat terhadap parti itu.

Presidennya Senator Datuk Seri Khairudin Samad berkata kemenangan besar BN dalam pilihan raya tersebut juga menunjukkan rakyat masih setia menyokong kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dalam meneruskan legasi kecemerlangan BN dalam membangunkan negeri Sarawak.

"Kemenangan BN di Sarawak juga menunjukkan harapan rakyat kepada kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melaksanakan dan meneruskan pembangunan ekonomi serta kemakmuran rakyat jelata," katanya dalam kenyataan Isnin (9 Mei).

BN Sarawak memenangi 72 daripada 82 kerusi dalam PRN itu.

MSM mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak atas mandat yang diberikan serta keyakinan dan penerimaan yang baik terhadap kepimpinan BN, katanya.

Sementara itu, pemimpin MIC menyifatkan kemenangan BN dalam PRN Sarawak ke-11 memberi keyakinan dan sinar baharu bukan hanya kepada rakyat Sarawak malah, kepada BN secara keseluruhananya.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata kepimpinan Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang tersendiri dalam menerajui negeri itu juga telah membuahkan hasil.

"Tahniah dan syabas kepada Adenan atas kemenangan cemerlang dalam pilihan raya negeri semalam," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai di kediaman mendiang di Subang Jaya Ahad lalu.

Mendiang antara yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, Khamis lepas.

BN Sarawak menang besar, termasuk merampas tujuh kerusi majoriti Cina, antaranya kerusi paling panas iaitu Batu Kawah yang dimenangi Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata sokongan jitu dan padu Perdana Menteri  dan Timbalan Perdana Menteri uga antara faktor BN terus menerajui negeri itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S K Devamany berkata kemenangan BN membuktikan parti besar itu masih relevan dan dalam persiapan menuju pilihan raya umum ke-14.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersama Perdana Menteri supaya beliau dapat memimpin negara walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk sektor ekonomi.

"Kepimpinan Adenan dan Najib merupakan antara faktor utama kemenangan BN di Sarawak," katanya.

Devamany berkata sokongan pengundi Cina yang kembali kepada BN juga satu kejayaan yang besar bagi kerajaan dan membuktikan kerajaan BN sentiasa prihatin terhadap semua kaum.

Turut senada, Ketua Penerangan MIC Datuk V S Mogan yang berkata kepimpinan Adenan dalam menerajui negeri Sarawak merupakan faktor utama di sebalik kejayaan BN.

"Sikap Adenan Satem yang mempertahankan kepelbagaian kaum dalam negerinya yang bercorakkan 1Malaysia serta polisi kerajaan yang memimpin rakyat ke arah kecemerlangan adalah antara sebab kejayaan BN," katanya.

Beliau berkata perkara seperti ini yang seharusnya menjadi iktibar dan amalan oleh pemimpin parti politik di semenanjung.

Monday, May 2, 2016

PRN S'wak: Lebih 21,000 Pegawai, Anggota Keselamatan Undi Awal Esok

Lebih 21,000 pegawai dan anggota keselamatan akan terlibat dalam proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, seramai 9,909 daripada pengundi awal tersebut merupakan pegawai dan anggota polis.

"Oleh kerana mereka akan bertugas pada hari pengundian dan beberapa hari sebelum hari pengundian maka mengikut Akta Suruhanjaya Pilihan Raya mereka perlu mengundi awal esok," katanya dalam sidang akhbar di Kuching hari ini.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersiap sedia melaksanakan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) esok, melibatkan 24,604 pemilih di 79 pusat pengundian.

Pengarah SPR Sarawak, Datuk Takun Sunggah berkata pengundi terbabit terdiri daripada anggota keselamatan serta pasangan mereka, yang akan mengundi di 100 tempat mengundi di pusat-pusat berkenaan mulai 8 pagi hingga 5 petang.

"Saya berharap perjalanan (pengundian awal) berjalan lancar esok, dan semua pengundi awal akan mengundi di tempat-tempat mengundi yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita di Kuching, hari ini.

Bagaimanapun, jumlah pemilih itu tidak melibatkan 418 pengundi awal di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) - Bukit Kota dan Bukit Sari, berikutan kemenangan tanpa bertanding BN di kedua-dua kerusi itu pada hari penamaan calon, 25 April lepas.

Setelah selesai pengundian awal esok, kertas-kertas undi akan disimpan di lokap-lokap polis dan hanya akan dikira mulai 4 petang pada hari pengundian biasa, 7 Mei ini, di tempat-tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR.

Takun juga berkata persiapan SPR menghadapi hari pengundian biasa pada 7 Mei, kini hampir siap sepenuhnya.

Hari ini (2 Mei) merupakan penghantaran terakhir kertas undi, dakwat pilihan raya dan kelengkapan bagi pengundian biasa ke kawasan-kawasan pedalaman menggunakan tiga buah helikopter dan dua pesawat 'fixed wing', katanya.

"Sebanyak 41 DUN yang perlu dihantar kelengkapan pilihan raya menggunakan helikopter dan pesawat 'fixed wing' merangkumi zon Sibu, Sri Aman, Miri dan Batu Danau di Limbang," katanya.

Takun turut meninjau proses penghantaran terakhir kelengkapan mengundi itu di hangar Hornbill Skyways, hari ini.

Katanya penghantaran menggunakan helikopter melibatkan kawasan Saratok, Sarikei, Pakan, Julau, Kapit, Belaga, Sungai Isap, Tanjung Manis, Bario dan Mukah, manakala pesawat 'fixed wing' menghantar kelengkapan pilihan raya ke Sibu, Bintulu, Miri, Marudi dan Limbang.

Takun berkata kelengkapan pengundian awal esok, telah siap dihantar ke pusat-pusat pengundian pada 30 April, manakala untuk undian pos sudah dihantar ke DUN yang terlibat pada 27 April.

Kertas undi, katanya mula dicetak bermula 25 April oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) cawangan Kuching, dan proses cetakan siap pada 30 April.

Bagi kawasan N1 Opar sehingga N37 Bukit Saban, pegawai pengurus pilihan raya akan mengambil sendiri kertas undi di PNMB cawangan Kuching, katanya.


Menurut daftar pemilih, terdapat 1,113,522 pemilih biasa pada PRN-11.