Saturday, April 22, 2017

Abang Johari - BN Sarawak Yakin Terus Raih Sokongan Pada PRU-14


Barisan Nasional (BN) Sarawak menerima sokongan semua kaum termasuk Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas kerana ia menampilkan dasar-dasar yang baik dan sama rata buat rakyat Bumi Kenyalang.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata berikutan keyakinan rakyat terhadap BN, mereka memberi sokongan meluas hingga banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti pengundi Cina kembali dimiliki BN.

Sehubungan itu, katanya beliau yakin BN akan terus meraih sokongan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.

"Saya yakin boleh tambah lagi kerusi Parlimen BN pada pilihan raya akan datang," katanya pada Sesi Khas Ketua Menteri Bersama Media - 100 Hari dan Seterusnya di sebuah hotel di sini, Sabtu.

Pada PRU13, BN Sarawak membolot 25 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak semasa kerajaan negeri diterajui oleh Tan Sri (kini Tun) Abdul Taib Mahmud, yang kini Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Pada PRN lepas, BN Sarawak yang diterajui Tan Sri Adenan Satem mencapai kemenangan besar apabila membolot 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Abang Johari mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada 13 Januari lepas berikutan kematian Adenan pada 11 Januari lepas setelah memimpin kerajaan negeri kira-kira lapan bulan.

Ketika ditanya sama ada beliau melihat isu-isu politik di Semenanjung Malaysia ketika ini ''membimbangkan'', Abang Johari berkata beliau tidak tahu ''apa masalah sebenar'' politik di sana.

Namun, katanya beliau sentiasa berkongsi pandangan dengan pemimpin negara mengenai apa yang baik, apa yang perlu dilakukan untuk kemakmuran negara selain mengemukakan fakta rasional termasuk mengekalkan budaya berpolitik Sarawak.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Abang Johari berkata penekanan paling penting dalam era pentadbirannya adalah untuk meneruskan semua polisi yang diilhamkan oleh Allahyarham Adenan dengan yang paling utama adalah membangunkan kawasan luar bandar.

Dalam era perkembangan teknologi yang begitu pesat, beliau berkata kaedahnya mesti diubah suai dengan kerajaan negeri mencari jalan lebih pantas untuk melonjakkan kemajuan ekonomi dan menerapkan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pelbagai bidang.

Sehubungan itu, katanya beliau memperuntuk RM1 bilion bagi menyediakan keperluan infrastruktur khusus untuk meningkatkan kelajuan dan penembusan internet di Sarawak supaya banyak inovasi baru dapat dihasilkan menerusi kreativiti tenaga kerja Sarawak.

"Kita ada banyak kerja di hadapan. Kita perlu lonjakkan kemajuan ekonomi untuk mencapai taraf yang setara dengan kemajuan di negeri lain, malah kita mahukan lebih dari itu," katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata rundingan dengan Petronas berhubung usaha menaikkan kadar royalti minyak untuk kerajaan negeri Sarawak tidak pernah dilupakan dalam agenda kerajaan negeri walaupun ia akan mengambil masa ekoran harga minyak merudum ketika ini.

Pada masa sama, katanya kerajaan negeri berusaha menggesa Petronas untuk turut melibatkan usahawan-usahawan Sarawak meneroka industri minyak dan gas menerusi kerjasama dan pendekatan yang strategik.

Kerajaan negeri turut merancang untuk membina Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang menghubungkan bahagian Kuching, Samarahan dan Serian menjelang 2020.

Saturday, April 1, 2017

RUU355 Dibentang Oleh Hadi Di Dewan Rakyat Pada 5 April Ini?


Harap-harap apa yang dikatakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa rang undang-undang ahli persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 dapat dibentangkan sebelum 6 April ini akan menjadi kenyataan.

Jika tidak,  akan malu dan kesipuan besarlah Dr Ahmad Zahid selepas kenyataannya di Kuala Terengganu tempoh hari tidak menjadi kenyataan.

Malah, kerajaaan Barisan Nasional (BN) juga akan dilihat tersangat lemah kerana tunduk kepada desakan parti komponennya, terutamanya MCA dalam isu ini.

Keputusan BN itu memarahkan banyak pihak dalam PAS dan ada yang mengatakan UMNO dan BN memang ‘tidak boleh dipercayai’.

Dr Ahmad Zahid menegaskan hari ini, private member’s bill mungkin boleh dibentangkan selepas semua urusan kerajaan diselesaikan.

Reaksi Dr Ahmad Zahid ini beriringan dengan apa yang disebutkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bahawa walaupun kerajaan tidak akan membentangkannya, Pas sudah mendapat kebenaran pihak kerajaan bagi membawa pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 ke persidangan Parlimen kali ini.


Namun, secara beralas Hdi mengatakan masa itu akan ditentukan oleh pihak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengikut ‘standing order’ Parlimen.

“Saya akan bawa sendiri di parlimen dan kita sudah mendapat persetujuan untuk bawa dalam sidang (kali) ini juga…akan dibahaskan Insya Allah. Speaker akan tentukan mengikut Standing Order Parlimen selepas urusan kerajaan. Bagaimanapun, kerajaan boleh beri masa pada bila-bila masa sahaja,” katanya dalam sidang media itu.

Sementara itu Ahli Parlimen Pas dari Bachok, Ahmad Marzuk Shaary dalam satu posting di facebooknya berkata, RUU355 akan dibentangkan Rabu depan (5 April 2017).

"RUU355 insya Allah Rabu depan," katanya dalam satu posting kelmarin.

Dr Ahmad Zahid hari ini menegaskan RUU 355 ini akan dibentangkan oleh ahli parlimen Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebagai private member’s bill dan kerajaan akan serahkan kepada peaker Dewan Rakyat untuk mengizinkan pembentangan itu dilakukan setelah semua urusan kerajaan diselesaikan.

"Ertinya, hari terakhir persidangan Dewan Rakyat ialah pada 6 haribulan, maka setelah semua urusan kerajaan diselesaikan baru private member’s bill(dibentangkan).

Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu tertakluk atas budi bicara Speaker Dewan Rakyat.

Dr Ahmad Zahid juga yakin undian terhadapnya  tidak akan dilakukan semasa sidang Parlimen kali ini.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memaklumkan, kerajaan tidak akan membentangkan RUU Akta 355 itu.

Keputusan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional kelmarin.

Keputusan itu dibuat selepas Dr Ahmad Zahid mengumumkan kerajaan akan membentangkan sendiri RUU itu walaupun sebelum ini Hadi sudah dua kali membacakannya di Dewan Rakyat.

Menurut Hadi, pengumuman Najib itu tidak memberikan kesan apa-apa terhadap usaha untuk membentangkan RUU355 ini.


“Tak ada kesan, sebenarnya pihak kerajaan setuju kita bawa ‘private bill’ itu. Ini (RUU 355) kaitan tentang hak orang Islam, kewajiban bersama bagi orang Islam dan tak ada sebab bagi orang bukan Islam untuk campur tangan,” jelasnya dipetik Buletin Online.

Monday, March 13, 2017

Duta China Bimbang, Terpaksa Nafi Rapat Dengan BN Sahaja


Apakah jawapan Duta Besar Republik Rakyat China (RRC) di Malaysia Dr Huang Huikang semalam yang menolak dakwaan beliau mempunyai hubungan rapat dengan parti politik Barisan Nasional (BN) sahaja menggambarkan wujud kebimbangan beliau mengenai survival parti berkenaan?

Juga dengan mengaitkan lawatannya ke Pulau Pinang turut menggambarkan beliau ‘bermain selamat’ dengan kemungkinan-kemungkina pembangkang akan menakluki Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti?

Apakah RRC dan Dr Huang sedang memerhatikan dengan teliti kemungkinan kerajaan baru akan mengambil alih Putrajaya?

Semalam, Dr Huang menafikan RRC hanya bebraik dengan BN seperti didakwa seorang diplomat veteran Malaysia baru-baru ini.

Bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis Ignatius yang mempunyai pengalaman lebih tiga  dekad dalam perkhidmatan diplomasi Malaysia, berkata dalam satu lisannya bahawa penglibatan China dapat dilihat melalui sokongan terbuka diplomatnya terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ini termasuk melalui kehadiran pegawai kedutaan di program politik melibatkan Umno, MCA dan Gerakan.

Tahun lalu, duta besar China menemani Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Adun MCA Teoh Yap Kun untuk melakukan lawatan ke kawasan Parlimen Semborong dan kawasan DUN Paloh.

Diplomat China juga dilihat bersama pemimpin kanan MCA menghadiri mesyuarat Persekutuan Persatuan Hakka Malaysia di Raub, Pahang, di samping bersama Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong di Teluk Intan.

“Dalam semua kunjungan ini, diplomat China mengambil peluang memuji pentadbiran Najib, menekankan kepentingan MCA dan menegaskan yang hubungan yang dibina dengan China akan banyak menguntungkan masyarakat Cina di Malaysia,” kata Dennis.

Dr Huang yang cuba menepis dakwaan itu berkata beliau baik dengan semua pihak di Malaysia.

“Saya adalah sahabat Malaysia, sahabat sejati seluruh Malaysia,” katanya dipetik Bernama.

Kenyataan beliau ada kaitan dengan dakwaan Dennis awal bulan ini bahawa penglibatan Huang dalam politik tempatan semakin menyerlah.

Beliau dikatakan dilihat kerap bersama pemimpin parti terutama MCA dan UMNO menjelajah seluruh negara.


Diplomat veteran itu menceritakan bagaimana duta besar China kini lebih intim dengan ahli politik Malaysia khususnya daripada MCA dan UMNO.

Malah  Duta Besar China ke Malaysia itu dilihat semakin melibatkan diri dalam politik tempatan di sebalik hubungan rapat Malaysia-Chinayang memberi peringatan akan kesannya terhadap kedaulatan negara.

“Beliau tekun menjelajah negara, dan kerap ditemani ahli politik MCA dan Umno, mengunjungi berpuluh-puluh sekolah Cina dan menyalurkan beratus ribu ringgit dalam bentuk bantuan dan biasiswa,” bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis Ignatius menulis dalam FMT pada 4 Mac lalu.

Huang berjanji mewujudkan program latihan bersama guru sekolah, yang antara lain boleh menyaksikan penyertaan lebih ramai guru dari tanah besar China di sekolah tempatan.

Dennis berkata MCA kini bertindak seolah-seolah ia cawangan kedutaan China dan bukan sebagai sebuah parti politik yang menyertai kerajaan.

“Baru-baru ini, ia menubuhkan sebuah jawatankuasa hal-ehwal China di samping sebuah pusat OBOR,” kata Dennis, merujuk kepada projek One Belt One Road, laluan sutera dan laluan laut yang diwujudkan China bagi mengawal ekonomi serantau.

Tambahnya, MCA mempromosikan OBOR mengalahkan kempen yang dijalankan kedutaan China sendiri.
“Ada yang berhujah tindakan sedemikian menjadikan MCA sebagai penggerak utama pengaruh dan propaganda China di negara ini kini,” katanya.

Katanya, dasar “pro-China” yang diamalkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak adalah paling ketara dalam sejarah, dan Beijing kini semakin menyerlah memainkan peranan dalam politik tempatan.


November lalu, Najib mengetuai rombongan ke Beijing yang turut disertai lapan  menteri dan tiga  menteri besar, dalam apa yang dilihat pemerhati sebagai kecenderungan Putrajaya terhadap China.

Lawatan itu menyaksikan 14 perjanjian melibatkan pelaburan bernilai lebih RM143 bilion, termasuk penglibatan China dalam Bandar Malaysia dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.

Dennis berkata sokongan dan kenyataan diplomat China itu boleh dianggap ugutan terhadap masyarakat Cina negara ini supaya mengalihkan sokongan mereka kembali kepada Umno dan BN.
Menurutnya, pihak yang paling rugi sekiranya strategi ini berjaya adalah DAP yang menjadi pencabar utama MCA dalam meraih undi Cina.

Dennis berkata, tekanan Beijing itu memaksa DAP bersikap lebih “sederhana” dalam menentang beberapa keputusan memberikan projek besar kepada China.

Dennis mengakui apa yang diutarakannya boleh ditafsirkan sebagai menyebarkan dakyah anti-China.

“Ini bukan mengenai pro-Barat atau pro-China tetapi memastikan tidak ada negara, sama ada di timur atau barat, yang dapat mendominasi kita sehinggakan kita hilang upaya untuk menentukan haluan sendiri,” katanya.

Kata Dennis, penglibatan China dilihat melalui sokongan terbuka diplomatnya terhadap kerajaan BN termasuk melalui kehadiran pegawai kedutaan di program politik melibatkan Umno, MCA dan Gerakan.

“Ada yang berhujah tindakan sedemikian menjadikan MCA sebagai penggerak utama pengaruh dan propaganda China di negara ini kini,” katanya.

Huang semalam menegaskan,  menjalin hubungan rapat dengan semua pihak termasuk parti pembangkang.

Beliau memberi contoh lawatan rasminya ke Pulau Pinang yang diterajui DAP.

“Saya menjelajah ke serata bandar dan negeri di Malaysia, saya sudah banyak kali melawat Pulau Pinang, bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang… saya juga menghadiri majlis perasmian Jambatan Kedua Pulau Pinang (Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah),” katanya.


Kenyataannya itu dipetik Bernama, selepas bertemu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Alor Setar semalam.