Showing posts with label Mustapa. Show all posts
Showing posts with label Mustapa. Show all posts

Tuesday, September 27, 2016

Penurunan Daya Saing Global - Kerajaan Gagal Tangani Isu Persepsi?


“Persaingan akan menjadi lebih sengit dalam tahun-tahun akan datang memandangkan semua negara giat berusaha melonjakkan daya saing masing-masing.”

Isu persepsi mengenai perkembangan politik dalam negara serta keadaan ekonomi menjadi sebahagian besar punca penurunan kedudukan Malaysia dalam laporan daya saing global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan isu itu timbul berikutan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang terus menyebarkan tuduhan tidak berasas.

Apakah ia membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad? Laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat? Isu derma RM2.6 Bilion? Penyelewengan dan salah guna kuasa? Ketidakstabilan politik? Undang-Undang Negara? Isu keselamatan negara? Kelemahan tadbir urus?


Atau apa?

Tanpa menamakan secara khusus apa persepsi berkenaan, Mustapa mengatakan isu persepsi berkenaan perlu dipandang serius.

Tegasnya, kerajaan akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi menangani perkara itu.

Pelik juga kerana selama ini pemimpin politik di pihak kerajaan mengatakan mereka tidak heran dengan isu persepsi. Ini kerana rakyat dan orang luar tahu apa sebenarnya yang berlaku di negara ini.
  

Malah ramai yang menidakkan faktor ini sebagai penting sebaliknya melihat dengan sebelah mata dan ‘syok sendiri’ dengan apa yang ‘disifatkan sebagai kejayaan Malaysia’ sejauh ini.

Bagi pemimpin politik sedemikian, mereka menganggap  pihak berkepentingan tidak terpengaruh dengan apa juga ‘cakap-cakap yang kononnya usaha memburukkan negara.’

Isunya, jika isu persepsi ini antara sebab penting, selain antara sebab lain, kenapa kerajaan tidak berjaya menepis persepsi sedemikian?



Kelemahan di pihak penerangan kerajaan atau apa yang diperkatakan itu ada ‘kebenaran’ atau ‘separuh benar’ atau ‘sedikit benarnya’?

Jika demikian, apa yang boleh dilakukan segera untuk menjamin ia tidak terus merebak dan mengawalnya?

Mustapa turut menyifatkan sebahagian besar punca penurunan kedudukan Malaysia adalah disebabkan faktor luaran di luar kawalan penggubal dasar.

"Ketidaktentuan ekonomi global, pengukuhan dolar Amerika Syarikat, kejatuhan harga komoditi serta kelembapan ekonomi China adalah di luar jangkauan kita.

Hakikatnya, tegas Mustapa, Malaysia kekal stabil baik dari segi politik manakala asas ekonominya juga kukuh.

Malaysia berada di kedudukan ke-25 daripada 138 ekonomi, turun dari tangga ke-18 tahun lepas tetapi kekal sebagai ekonomi paling kompetitif dalam kalangan negara membangun Asia.

Menurut Laporan Daya Saing Global (GCR) 2016-2017, yang diumumkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) semalam, dari segi skor, prestasi negara turun daripada 5.23 kepada 5.16 daripada maksimum 7.

Beliau berkata biarpun kedudukan terbaharu itu mengecewakan, ia sebaliknya mengukuhkan lagi pendirian kerajaan untuk mengambil pendekatan sewajarnya pada kadar lebih pantas dalam usaha mempertingkat daya saing Malaysia.



Mustapa yang dipetik Bernama berkata Malaysia bagaimanapun kekal berada di hadapan ekonomi seperti Republic of Korea, Iceland dan China dalam ranking terbaharu ini tetapi telah diatasi oleh Belgium, Austria, Luxembourg, Perancis, Australia, Ireland dan Israel, menurut laporan itu.

Sementara itu, negara-negara dan wilayah yang turut turun daripada ranking mereka termasuklah Jerman, Jepun, Hong Kong SAR, Finland, Kanada, Perancis, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Dalam satu kenyataan semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata penting untuk diambil perhatian bahawa semua negara yang berada di kedudukan di atas Malaysia adalah negara maju dan berpendapatan tinggi.

GCR ialah laporan tahunan yang dikeluarkan oleh WEF berdasarkan kepada Indeks Daya Saing Global (GCI) menggabungkan 114 petunjuk yang menyepadukan kedua-dua aspek daya saing ekonomi makro dan mikro.

Petunjuk-petunjuk ini dikumpulkan menjadi 12 tonggak terdiri daripada Institusi, Prasarana, Persekitaran Makroekonomi, Kesihatan dan Pendidikan Utama, Pendidikan Tinggi dan Latihan, Kecekapan Pasaran Barangan, Kecekapan Pasaran Buruh, Pembangunan Pasaran Kewangan, Kesediaan Teknologi, Saiz Pasaran, Kecanggihan Perniagaan dan Inovasi.


GCI itu berdasarkan kepada data perangkaan daripada organisasi dikitiraf antarabangsa bagi 30 peratus atau 34 petunjuk.

Bagi 80 petunjuk selebihnya, penilaian kualitatif itu dibuat berdasarkan Kaji Selidik Pendapat Eksekutif Forum Ekonomi Dunia.

Menurut GCR, laporan itu secara keseluruhannya, menyenaraikan Switzerland sebagai ekonomi paling kompetitif di dunia untuk tahun kelapan berturut-turut, mengatasi Singapura dan Amerika Syarikat dan diikuti Belanda serta Jerman.

Mustapa berkata, Malaysia disenarai pada kedudukan 50 teratas bagi setiap daripada keseluruhan 12 teras biarpun mencatat penurunan dalam 8 teras berkenaan.

Malaysia mencatat prestasi paling kukuh dalam teras Kecekapan Pasaran Barangan (tempat ke-12) dan Pembangunan Pasaran Kewangan (ke-13) manakala teras Kesediaan Teknologi, Malaysia melonjak empat tempat ke tempat 43 dan teras Saiz Pasaran pula naik dua kedudukan ke tempat 24, katanya.

Beliau berkata biarpun kedudukan terbaharu itu mengecewakan, ia sebaliknya mengukuhkan lagi pendirian kerajaan untuk mengambil pendekatan sewajarnya pada kadar lebih pantas dalam usaha mempertingkat daya saing Malaysia.

Malah, sebagaimana ditegaskan pihak WEF bagi negara-negara pesat membangun, aspek seperti penambahbaikan amalan perniagaan dan pelaburan dalam inovasi kini sama pentingnya dengan infrastruktur, kemahiran dan kecekapan pasaran.

Kerajaan akan menangani kekurangan yang ditekankan dalam laporan tersebut, dan menyatukan usaha-usaha semua kementerian ke arah mengekalkan status Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan, katanya.

Malaysia juga akan terus berusaha untuk menanda aras negara dengan negara-negara yang mencatat prestasi lebih baik dalam laporan itu.

Beliau berkatah Malaysia telahpun menangani perkara-perkara seperti mempertingkatkan produktiviti, memudahkan inovasi terutamanya dalam perusahaan kecil dan sederhana(PKS).

Ia juga merevolusikan perkhidmatan pembuatan, mempertingkatkan automasi dan pendigitalan bagi mempertingkatkan kecekapan, pengoptimuman logistik dan menjadikan harga lebih telus dan berdaya saing, katanya.

Menurutnya, kerajaan juga mempersiapkan PKS bagi menghadapi persekitaran yang lebih terbuka dan pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas yang turut melibatkan negara ini, dan juga penyepaduan dagangan ekonomi yang lebih mendalam
di rantau ASEAN.

Beliau berkata, kerajaan sedang bekerjasama dengan pakar dan penggiat industri untuk memuktamadkan Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia bagi menangani isu dan cabaran tentang produktiviti dengan cara yang lebih komprehensif.

Beliau menggesa syarikat membuat inovasi dengan sepantas kerana sektor swasta yang akan menentukan tahap daya saing Malaysia.

Laporan itu turut menekankan kepentingan mengelak perangkap pendapatan pertengahan dengan lebih memberi perhatian kepada kecanggihan dan inovasi perniagaan.

Justeru itu, Mustapa berkata Malaysia akan terus giat memajukan inovasi.

"Beberapa strategi sedang dilaksanakan untuk menggalakkan inovasi di peringkat perusahaan dan masyarakat di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas yang dijangka meningkatkan ekosistem inovasi negara.

"Kita amat berharap ini akan menyokong Malaysia memperbaiki ranking dalam laporan akan datang," katanya.

Dalam melangkah maju, beliau mengingatkan bahawa persaingan akan menjadi lebih sengit dalam tahun-tahun akan datang memandangkan semua negara giat berusaha untuk melonjakkan daya saing masing-masing.

Platform berkeupayaan teknologi yang memudahkan aspek perkongsian dan ekonomi yang menjadi pilihan, ternyata menjejaskan model perniagaan dan memaksa negara-negara memikirkan semula pendekatan untuk menggubal dasar ekonomi masing-masing, katanya.

Pihak kerajaan dan sektor swasta perlu lebih bekerjasama antara satu sama lain untuk mewujudkan persekitaran yang lebih berdaya saing, kata Mustapa.

Thursday, June 9, 2016

97 Peratus Hutang Adalah Dalam Negara, Diurus Dengan Baik - Mustapa


Pakai dan dengar apa yang Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) cakap. Semua cakap ekonomi negara di bawah Barisan Nasional (BN) diurus dengan baik.

Demikian pesanan Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Menteri Kewangan hari ini.

Sehubungan itu, Najib meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu kononnya negara mempunyai hutang yang amat banyak.

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan,  hutang negara ketika ini berada di bawah had kawalan iaitu 55 peratus dan tidak seperti dinyatakan Asian Nikkei Review iaitu melepasi had berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah turut menyelar artikel yang disiarkan Nikkei Asian Review pada 6 Jun 2016 berkaitan kedudukan hutang negara yang didapati tidak berasas.

Menurut Mustapa, jika hutang negara melepasi had yang ditetapkan sudah pasti negara ketika ini berdepan dengan masalah besar.

“Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebelum ini sudah nyatakan bahawa dakwaan tersebut tidak benar dan menegaskan hutang negara berada di bawah paras 55 peratus.

Beliau berkata dalam bidang ini, jadi kita tak boleh dengar kenyataan daripada pihak lain.

“Ekonomi kita kukuh walaupun berdepan cabaran akibat kejatuhan harga komoditi, masalah ini dihadapi oleh semua negara di dunia. Apa yang mahu saya jelaskan 97 peratus hutang kita adalah hutang dalam negara, hanya 3 peratus sahaja hutang luar negara,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama agensi di Kuala Lumpur semalam.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah pada Selasa berkata sehingga akhir 2015, hutang kerajaan Persekutuan yang merangkumi hutang domestik dan hutang luar pesisir, mencatat RM630.5 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Menurutnya, kerajaan komited untuk memastikan kedudukan hutang negara tidak melebihi paras berhemat 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 “Sehingga akhir 2015, hutang Kerajaan Persekutuan yang merangkumi hutang domestik dan hutang luar pesisir mencatat RM630.5 bilion atau 54.5% daripada KDNK.

“Daripada jumlah ini, 97% adalah hutang domestik manakala bakinya adalah hutang luar pesisir. Oleh itu, pendedahan terhadap risiko pertukaran mata wang asing adalah rendah,” katanya.

Menurutnya, kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan dijangka terus berkurangan kepada sekitar 53% daripada KDNK pada tahun ini, berikutan langkah konsolidasi fiskal berterusan dan pindahan sebahagian hutang berkaitan skim pinjaman perumahan penjawat awam kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Kedudukan itu, menurut Mustapa membuktikan hutang negara kini berada dalam keadaan terkawal dan stabil walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran ketidaktentuan ekonomi global.


Najib menjelaskan hari ini, kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun.

Malah menurutnya,  kedudukan hutang negara ketika ini masih berada pada tahap yang mampu ditangani oleh kerajaan.

"Jumlah hutang Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura lebih besar jika dibandingkan dengan pendapatan perkapita mereka," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kejatuhan harga getah 2016 di Kuala Kangsar, hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata pengurusan ekonomi yang cekap membolehkan kerajaan terus memberi pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat di sebalik kelembapan ekonomi global.

Beliau memberi contoh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terbukti memberi kebaikan kepada rakyat, termasuk pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Aidilfitri, yang merupakan hasil daripada kutipan GST.

"Inilah sebabnya bila Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) minta bantuan raya, kita dapat beri. Kalau tiada cukai macam mana kerajaan dapat bagi.

"Sistem ini (GST) bukan nak susahkan rakyat, tapi ia untuk kebaikan negara. Bila hasil bertambah, kita pulangkan balik kepada rakyat," kata Perdana Menteri.

GST dilaksanakan mulai 1 April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan.

Sumber - Bernama & Utusan Malaysia