Saturday, November 19, 2016

Tumpu, Bangkit Demi Kemenangan UMNO Pada PRU14


Dua lagi pemimpin tinggi UMNO semalam mengingatkan ahli parti itu bahawa kini adalah suasana ‘genting’ dan kerana itu perlu bekerja keras bagi menjamin kemenangan parti dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta anggota parti supaya tidak mudah merasa selesa sebaliknya perlu bangkit menumpukan usaha untuk berdepan cabaran pada PRU14 akan datang.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengakui senario politik negara ketika ini genting, mengajak  semua ahli UMNO supaya tidak mengambil kesempatan memburukkan keadaan dalam parti dengan soal remeh, termasuk isu peribadi,  seperti mahu berebut jawatan.

Hishamuddin mahu anggota UMNO menghimpunkan segala kekuatan, memfokuskan pemikiran dan menzahirkan kebersamaan dengan tidak sesekali memperjudikan masa depan parti, agama, bangsa serta tanah air. 

"Dengan azam yang kuat, saya mahu anggota UMNO bangkit dengan semangat luarbiasa bahawa menerusi parti ini kita mempertahankan kedaulatan serta maruah kehidupan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen UMNO Pahang, semalam. 

Dalam masa yang sama, Hishamuddin turut mengingatkan anggota dan pemimpin UMNO mengetepikan kepentingan peribadi dan kembali merapatkan saf demi kepentingan rakyat dan negara ini.

Kelmarin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin mengingatkan, jika UMNO gagal membuat perancangan dan tidak bersiap sedia menghadapi PRU dari sekarang, maka ia mesti bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk kehilangan kuasa.

Justeru itu, semua anggota UMNO Johor perlu memastikan bahawa parti ini kekal relevan, bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga bagi masyarakat bukan Melayu.

Menteri Besar Johor itu menganggap PRU14 adalah perjuangan “hidup atau mati” bagi UMNO berikutan serangan demi serangan yang dihadapi parti itu pada masa ini.

Beliau tidak mahu UMNO menjadi bahan kritikan dan senda, kerana yang menyerang UMNO kini bukan hanya musuh tradisi politik tetapi juga ialah mereka yang pernah bersama-sama dengan UMNO.

Demi memastikan parti kekal relevan, beliau memberi saranan agar UMNO mengambil langkah proaktif untuk memperkasa dan memperjuangkan Islam bagi menyatupadukan semua orang Melayu di negara ini.

Hishamuddin pula meminta ahli UMNO menjadi benteng pertahanan UMNO yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan serangan daripada segenap penjuru. 

Kata Menteri Pertahanan itu, ujian demi ujian yang dihadapi oleh UMNO dari masa ke semasa mematangkan lagi parti itu untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran yang lebih getir. 

Berikutan landskap politik kini sudah berbeza, sekali gus memerlukan parti melakukan perubahan untuk memastikannya terus kekal releven untuk membela agama, bangsa dan negara.


Ahmad Bashah pula menggesa semua semua pemimpin UMNO di segenap peringkat di Kedah khususnya agar mengenepikan segala isu berkaitan kepentingan peribadi, sebaliknya menumpukan usaha memenangkan parti pada PRU14.

Menurutnya, soal pemuafakatan dalam keluarga UMNO harus terus diperkukuh sebagai resipi paling mujarab untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti.

"Tak kiralah di peringkat bahagian atau sayap, semua masalah yang timbul harus letak tepi. Kita sudah 13 kali menghadapi PRU dan kalau kita nak berjaya, itulah penawar yang paling mujarab dalam menghadapi rakyat apabila kita kembalikan kuasa kepada mereka.

"Soal nak lawan ketua bahagian untuk pemilihan, itu kita tolak tepi dahulu sebab ini bukan masanya. Tumpuan kita haruslah PRU-14 kerana kalau hilang kuasa dalam PRU, menangis pun sudah tak guna," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen UMNO Kedah 2016 di Sungai Petani, semalam.

Ahmad Bashah menggesa semua ahli UMNO, khususnya pemimpin di segenap peringkat di Kedah membuka mata terhadap soal cabaran yang dihadapi parti ketika ini, terutama berhubung realiti yang dipenuhi pelbagai persepsi, tuduhan dan fitnah.


Justeru, beliau mahu Konvensyen UMNO Kedah 2016 digunakan sebaik mungkin sebagai pentas untuk mencari formula terbaik menangani setiap cabaran itu, bagi memastikan matlamat BN Kedah menang lebih banyak kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen direalisasikan.

No comments:

Post a Comment