Tuesday, April 19, 2016

Kerajaan Campuran UMNO-PAS Beri Banyak Kebaikan Kepada Malaysia


Apakah pemimpin UMNO dan PAS mendengar saranan ini?

Atau apakah ia tidak mungkin akan pernah terjadi kerana PAS merasakan UMNO bukan parti yang boleh dijadikan rakan seperjuangannya?

Tidak adakah jalan untuk merunding atau duduk semeja memikirkannya?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul hadi Aawang
Pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik semalam memberikan pandangan bahawa kerajaan campuran UMNO dan PAS akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam.

Katanya beliau bukannya mencadangkan dua parti politik Islam utama negara itu bergabung, tetapi adalah lebih baik jika kedua-dua parti politik berkenaan membentuk kerajaan campuran.

"Saya bukan hendak memberitahu kedua-dua parti (UMNO dan PAS) perlu menjadi sebuah parti, tetapi jika mereka boleh berbuat demikian, Alhamdulillah...(jika tidak), mereka boleh mengekalkan parti dan identiti masing-masing.

"Namun, jika mempunyai kerajaan campuran, ia akan menjadi gabungan untuk orang Islam," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu dalam rakaman program bual bicara TV Al Hijrah, 'Persepsi', di Kuala Lumpur semalam.

Bernama melaporkan, Dr Zakir Naik, yang kini menjelajah Malaysia bagi menyampai syarahan agama, dituduh oleh pihak tertentu kononnya ceramah beliau boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menyentuh sensitiviti agama lain.

Sejak beberapa hari lepas, beliau telah bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dr Zakir Naik, dari India, berkata beliau percaya kedua-dua pemimpin parti itu bersedia bekerjasama membentuk kerajaan campuran, dan jika perkara itu menjadi kenyataan ia adalah sesuatu yang terbaik untuk Islam.

Bagaimanapun, katanya mungkin ada beberapa pihak di negara ini yang tidak bersetuju dengan pendapatnya dan tidak mahu melihat UMNO dan PAS membentuk kerajaan campuran.

Presiden PAS, datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang sudah beberapa kali duduk bersama perlu mengambil berat pandangan ini jika memikirkan masa depan orang Islam di negara ini.

Dr Zakir Naik juga mencadangkan supaya lebih banyak program diadakan di negara ini bagi menjelaskan mengenai Islam kepada orang bukan Islam serta menghapuskan sebarang salah faham mereka tentang Islam.

Menurutnya pada pertemuan dengan Najib, beliau telah memaklumkan mengenai Persidangan Dunia Islam Dalam Bahasa Inggeris yang diadakan di Mumbai, India, baru-baru ini, dan perdana menteri bertanya sama ada persidangan itu boleh diadakan di Malaysia.

No comments:

Post a Comment