Saturday, May 21, 2016

Calon Faktor Penentu Kemenangan Di PRK Sungai Besar?


Dr Samsul Adabi
Ramadan akan datang bakal menyaksikan sejumlah 42,836 pengundi berdaftar di Parlimen Sungai Besar memilih calon yang terbaik bagi mengisi kekosongan ditinggalkan penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon.

Berbaki 15 hari sebelum gelanggang kempen dibuka selepas penamaan calon pada 5 Jun ini, pelbagai teori dan analisis telah dibuat mengenai peluang parti-parti bertanding untuk memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 18 Jun ini.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata Barisan Nasional (BN) dan pembangkang kini dilihat dalam kedudukan seimbang untuk memenangi kerusi berkenaan.

Mengulas tentang kerumitan hubungan PKR-PAS-DAP-AMANAH di Selangor, Samsul Adabi tidak menolak kemungkinan pertandingan tiga penjuru akan berlaku di Sungai Besar membabitkan BN-PAS-AMANAH.

"Senario ini bakal memberi kesan besar sehingga membawa kepada kemungkinan PRK kali ini menjadi yang paling sengit dalam sejarah PRK sebelum menuju ke PRU14.

"DAP berharap akan ada pertandingan tiga penjuru tetapi pada masa sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali nak ambil hati PAS. Ini akan wujudkan situasi menang-menang di mana pakatan pembangkang pun hadapi masalah dan BN ada masalah isu, jadi pengakhirannya faktor calon amat memainkan peranan," katanya.

Samsul Adabi berkata sudah pasti, penduduk tempatan mendambakan seorang calon yang benar-benar mempunyai kredibiliti dan diterima oleh semua lapisan masyarakat termasuk kaum Cina.

Menurut penganalisis politik itu, penentuan seorang calon yang akan bertanding sememangnya amat penting dan calon itu haruslah seorang yang telah terbukti layak.

"Saya lihat kekuatan pada Budiman Mohd Zohdi (Anggota Dewan Undangan Negeri) kerana beliau sudah menang di (Dewan Undangan Negeri) Sungai Panjang dan prestasi beliau sepanjang pegang tanggungjawab sebagai ADUN memang amat baik. Jadi bila guna formula ini, maka UMNO kalau ambil pendekatan bijaksana mereka tidak akan lepaskan peluang untuk (memilih) calon seperti ini," katanya.

DUN Sungai Panjang berada di bawah Parlimen Sungai Besar dan pada PRU13, Budiman menewaskan Mohd Fadzin Taslimin daripada PAS dengan majoriti 2,183 undi.

Satu lagi DUN di bawah Parlimen berkenaan iaitu DUN Sekinchan bagaimanapun dipegang oleh DAP menerusi wakilnya Ng Suee Lim.

Sungai Besar mempunyai 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.

Samsul Adabi berkata Budiman mempunyai 'track record' yang baik dan disukai penduduk di kawasan itu termasuk masyarakat Cina.

"Bagi Pakatan Harapan pula, bagaimana nak tentukan parti mana nak bertanding sama ada DAP atau AMANAH atau Mohamed Azmin nak tangani perkara ini untuk beinteraksi dengan PAS. Kalau berlaku tiga penjuru akan beri kekuatan tambahan pada BN kerana undi pakatan pembangkang diramal akan berpecah dua.

"Saya juga lihat PAS sudah jelas akan bertanding, cuma sekarang adakah Mohamed Azmin akan akur dengan PAS tanpa letakkan calon daripada Pakatan Harapan.

"Ini kerana kawasan itu jumlah pengundi Cina tinggi mungkin DAP berhasrat untuk kemuka calon tetapi mereka mungkin bermuafakat dengan PRK Kuala Kangsar kerana di Perak DAP lebih dominan tetapi di Selangor PKR lebih dominan," katanya.

Beliau berkata kesudahannya, keputusan PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kelak akan menjadi kayu pengukur terhadap kekuatan dan kelemahan parti yang bertanding.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun.

No comments:

Post a Comment