Thursday, June 2, 2016

Tinjauan UCCI - BN Sedang Hampiri Kejayaan Di Sungai Besar


Barisan Nasional (BN)  mempunyai sokongan paling tinggi di kalangan pengundi Sungai Besar, dengan pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu akan diadakan pada 18 Jun ini.

PRK Sungai Besar sehingga kini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi, 44, mempertahankan kerusi  BN, Pengerusi Amanah Kawasan Sungai Besar, Azhar Ab Shukor, 51 serta  ADUN Meru, Dr Abdul Rani Othman, 58, sebagai calon parti itu.

 Menurut tinjauan terbaru Pusat Penyelidikan Pilihan Raya UCSI, jika pilihan raya diadakan pada masa ini, sehingga 44.75 peratus pengundi akan menyokong calon BN.

Tempat kedua pula ialah PKR dengan 24.25 peratus, diikuti PAS 13 peratus dan Parti Amanah Negara (Amanah) 8.25 peratus.

Tinjauan menunjukkan 90.25 peratus pengundi telah membuat keputusan parti mana yang akan mereka undi nanti dengan hanya 9.75 peratus masih di atas pagar.

Tinjauan itu dijalankan antara 24 Mei hingga 29 Mei dengan melibatkan 400 responden yang terdiri daripada 230 pengundi Melayu, 155 Cina dan 15 India.

Tinjauan UCSI turut mendedahkan isu-isu yang memberi kesan ke atas pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Pengundi Melayu menzahirkan keprihatinan terhadap isu rasuah (76 peratus) dan 1MDB (56 peratus) berbanding kelangsungan hidup (50 peratus). Isu-isu lain termasuklah kadar jenayah (36 peratus), hutang negara (30 peratus) dan kualiti pendidikan (27 peratus).


Bagi bukan Melayu, rasuah menjadi keutamaan dengan 80 peratus, diikuti dengan isu kelangsungan hidup (65 peratus) dan 1MDB (52 peratus). Pengundi kategori ini juga prihatin dengan ketegangan kaum (43 peratus).

PRK Parlimen Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu. Pada PRU13 lalu, Noriah menewaskan lawannya daripada Pas, Mohamed Salleh M Hussin dengan majoriti 399 undi.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.

No comments:

Post a Comment