Monday, May 2, 2016

Pilih Wakil Rakyat Semua Etnik Minoriti & Yang Didukung Parti Kuat Seperti BN


Barisan Nasional (BN) mahu semua etnik minoriti di Sarawak, termasuk Penan mempunyai wakil rakyat masing-masing dalam kerajaan BN.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata, sebab itu BN mencadangkan persempadanan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, seperti yang dapat dilihat sekarang. 

Beliau berkata, hampir semua kaum di Sarawak sudah ada wakil rakyat di DUN atau Parlimen, seperti Iban, Melayu, Cina dan Kayan. "Malangnya, etnik Kelabit belum ada wakil rakyat sebab itu saya calonkan Datuk Gerawat Gala untuk DUN Mulu.

"Justeru, jangan hampakan Gerawat kerana ia satu-satunya calon Kelabit di Sarawak. Saya juga mahu Penan ada wakil rakyat di DUN Sarawak selepas ini," katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Telang Usan, Mulu dan Ba'kelalan, di Miri, petang ini.


Lebih 2,000 masyarakat Orang Ulu menghadiri majlis itu.  Turut hadir ialah calon BN bagi DUN Telang Usan, Dennis Ngau, calon DUN Mulu, Gelawat Gala, DUN Ba,kelalan (Willie Liau).

Sementara itu., Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pengundi Sarawak perlu memilih wakil rakyat yang didukung parti kuat seperti Barisan Nasional bagi memastikan agenda pembangunan rakyat dan negeri ini dapat diteruskan.

Perdana menteri berkata mereka perlu melihat kekuatan parti secara keseluruhannya lebih penting berbanding kekuatan individu dalam memilih wakil rakyat dan seterusnya kerajaan negeri.

Najib yang juga Pengerusi BN menekankan bahawa bersandarkan kekuatan parti, agenda pembangunan rakyat akan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, berbanding parti yang lemah dan tidak stabil.

"Yang menjadi kekuatan bukannya individu tetapi parti. Malah jawatan saya sebagai Pengerusi BN dan Tok Nan (Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem) kuat dan kukuh adalah kerana parti, bukannya individu," katanya.


Apabila parti kuat dan stabil, pemerintahan kerajaan menjadi lebih mudah dan segala perancangan demi faedah rakyat boleh dilaksanakan dengan berkesan, katanya ketika berucap sewaktu tinjauan mesra di Dataran Bandar Saratok, Betong, kira-kira 300km dari Kuching.

Lantaran itu, Najib meminta pengundi supaya bijak menggunakan hak memilih wakil rakyat yang boleh mendengar suara mereka, bukannya calon daripada parti yang tidak mempunyai kesepakatan sesama mereka.

"Jika pilih BN, bererti anda semua memilih kerajaan yang mempunyai agenda pembangunan. Adakah anda ingin memilih parti seperti pembangkang yang tidak mempunyai konsensus untuk memerintah sesebuah negeri?" katanya.

Najib menarik perhatian bahawa agenda pembangunan di Sarawak memerlukan masa sekarang-kurangnya 10 tahun untuk dijayakan dengan sepenuhnya dan oleh itu, mandat daripada rakyat di Sarawak masih lagi diperlukan.

"Perancangan dan pembangunan bukan boleh disiapkan dalam masa satu dua tahun. Kemungkinan 10 tahun baru selesai. Jika tiada mandat, agenda pembangunan akan terjejas.

"Jadi, gunakanlah kuasa dan hak anda sebagai pengundi, undilah BN," katanya yang disambut sorakan, dengan laungan sokongan terhadap BN, ratusan pengunjung yang membanjiri kawasan itu sejak awal pagi.

Najib kemudian mengelilingi kawasan tersebut yang menempatkan premis perniagaan dan medan selera selain menjamu selera bersama penduduk setempat, sambil diajak bergambar dan bersalaman dengan mereka.

Turut hadiri calon BN DUN Kalaka Datuk Wahab Abdul Aziz dan calon BN DUN Krian, Kilat Beriak

PRN Sarawak akan diadakan 7 Mei ini.


Berita Harian & Bernama

No comments:

Post a Comment