Tuesday, February 28, 2017

Raja Salman Seru Malaysia DiBangunkan Berlandas Prinsip Islam

 

Malaysia perlulah dibangunkan berlandas prinsip-prinsip Islam dan menjaga Wasatiyyahnya dalam berdakwah.

Selain itu, cara Islam yang penuh dengan perdamaian dan kasih sayang perlu diamalkan dalam kehidupan harian rakyat pelbagai kaum dan agama negara ini.

Demikian titah Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ketika menyampaikan amanat kepada bekas penuntut Malaysia yang belajar di universiti-universiti di Arab Saudi.

Baginda menyampaikan amanat itu dalam bahasa Arab ketika mengadakan pertemuan selama sejam dengan 50 penuntut Arab Saudi yang melanjutkan pengajian di Malaysia dan lapan bekas penuntut Malaysia itu anjuran kerajaan Arab Saudi di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.

Presiden Ikatan Alumni Arab Saudi (IAS), Jaafar Salleh berkata, Penjaga Dua Kota Suci itu juga berpesan supaya bekas penuntut Malaysia dapat mempraktikkan ilmu yang dipelajari mereka semasa menuntut di Arab Saudi demi memajukan ummah dan masyarakat Islam negara ini.

 "Dalam dunia yang penuh cabaran kini, kami selaku Alumni akan berusaha mengotakan amanat itu melalui usaha dakwah demi kelangsungan syiar Islam," kata Jaafar.

"Kami juga berterima kasih dan menghargai jasa Kerajaan Arab Saudi yang sudi membiayai pengajian kami termasuk memberi biasiswa, perbelanjaan harian, makanan, tempat tinggal dan tiket penerbangan pergi balik," kata Jaafar.

Beliau berkata, Raja Salman juga berpesan kepada para penuntut Arab Saudi supaya menimba ilmu dengan sebaik-baiknya untuk dimanfaatkan bagi kemajuan negara mereka.

Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Kota Bharu, Kelantan Datuk Dr Abdul Basit pula berkata beliau akan melaksanakan amanat Raja Salman dengan mengamalkan cara Islam yang penuh perdamaian dan kasih sayang dalam kehidupan hariannya.

Sebagai bekas penuntut Universiti Islam Madinah, beliau bersyukur mendapat penajaan kerajaan Arab Saudi sepanjang pengajiannya dari 1988 sehingga memperoleh Doktor Falsafah dalam jurusan Syariah pada 2006.

 "Dalam pertemuan hari ini, Raja Salman menasihati kami supaya menjaga wasatiyyah di dalam dakwah terutama di negara yang berbilang-bilang kaum dan agama," katanya.


Sementara itu, Raja Salman malam tadi turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dan Anugerah Pencapaian Cemerlang Sepanjang Hayat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Anugerah kepada baginda disempurnakan Sultan Pahang yang juga Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah pada Majlis Konvokesyen Khas di Dewan Utama Pusat Kebudayaan (ICC), UIAM Kampus Gombak di Kuala Lumpur.

Ijazah Kehormat Doktor Falsafah yang dianugerahkan kepada Raja Salman yang juga Penjaga Dua Masjid Suci adalah dalam bidang Sains Politik (Islam dan Wasatiyyah) dari Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, sejajar keteguhan baginda mendukung konsep wasatiyyah ke arah keamanan global dalam semua aspek kehidupan merangkumi agama, politik dan sosial.

Anugerah Pencapaian Cemerlang Sepanjang Hayat pula adalah atas sumbangan besar baginda dalam memperjuangkan kebajikan Islam dan kesejahteraan global serta mengukuhkan hubungan antara negara Islam, selain sikap dermawannya terhadap kerja kemanusiaan dalam membantu negara dan mangsa yang dilanda bencana.

Pengiktirafan itu dianugerahkan sempena lawatan rasmi baginda ke Malaysia selama empat hari bermula Ahad lalu. 

Dalam titah baginda, Raja Salman Raja menyeru universiti terutama dalam dunia Islam supaya memastikan kesediaan dan kelayakan mereka bagi membolehkan umat Islam memperoleh kekuatan yang akan dikongsikan sesama mereka dan orang lain.

"Usaha untuk membangunkan pengetahuan dan sains melalui penyelidikan harus kekal menjadi keutamaan bagi meningkatkan kebolehpekerjaaan dalam kalangan generasi muda," titah baginda. 

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah dalam titahnya menyifatkan Raja Salman sebagai seorang pemimpin luar biasa dan memahami peranan penting umat Islam hari ini.

"Dunia Islam hari ini berdepan banyak cabaran yang memerlukan kesabaran, keprihatinan serta penyelesaian dan inilah kekuatan yang dimiliki Raja Salman.

 "Tugas dan kewajipan baginda terhadap negaranya dan pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah memerlukan baginda sentiasa tenang dengan kesabaran yang tinggi. Baginda adalah lambang kualiti yang dituntut agama kita," titah baginda.

Semalam, Raja Salman turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Malaya (UM).

Raja Salman kini dalam rangka lawatan negara empat hari ke Malaysia sejak Ahad atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. 

No comments:

Post a Comment