Saturday, June 18, 2016

PRK Kuala Kangsar Lebih Hangat Berbanding Sungai Besar


Kehangatan pilihan raya kecil (PRK) kali ini nampaknya lebih 'meruap' di Parlimen Kuala Kangsar berbanding Sungai Besar.

Kejadian seorang lelaki mengherdik dan mencekak leher baju Ketua Dapsy Perak, Howard Lee Chuan How di hadapan sebuah sekolah kira-kira jam 11.15 pagi tadi membuktikan kehangat sedemikian.

Lelaki tersebut turut cuba untuk menumbuk ADUN Pasir Pinji sambil beberapa lelaki lain di kawasan sekitar cuba mententeramkan keadaan.

Video menunjukkan lelaki berkenaan melaungkan "Apa lu cakap, apa lu cakap, apa lu cakap, apa lu cakap, apa lu cakap!"

Dalam satu kanyataan, Howard menyatakan rasa kesal terhadap insiden itu dan beliau tidak boleh menerima sebarang bentuk provokasi seperti itu.

Menurutnya, penyokong lawan melakukan provokasi dengan menjerit 'balik, balik, balik Tongsan' sebaik melihat beliau dan rakan lain berada di situ.

"Apabila ditanya kepada siapa mereka cakap sebegitu, mereka terus melakukan provokasi beramai-ramai sampai menghalang kenderaan daripada melintas jalan. Bila diminta supaya jangan biadab, ketua rombongan mereka balas dengan bersikap samseng, mencekik saya dan hendak menumbuk saya.

Beliau turut kesal kerana dengan tindakan ahli MCA yang melihat sahaja insiden itu namun beliau merasakan itu bukanlah perkara luar biasa.

Nasib baik tiada individu yang cedera dalam “perang mulut” itu dan petugas Barisan Nasional (BN) yang enggan dinamakan menyifatkan insiden itu sebagai pertengkaran biasa antara parti politik ketika pilihan raya.


Petang semalam, pergaduhan tercetus antara penyokong PAS dan penyokong BN menyebabkan seorang penyokong BN cedera di kepala.

Faizul Fadli Yaakob, 31 tahun, cedera di kepala sehingga terpaksa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar akibat didakwa dipukul dengan kayu oleh seorang penyokong PAS.

Dalam rakaman yang dikongsikan di halaman Facebook Friend of PAS, pergaduhan itu tercetus di hadapan Bilik Gerakan PAS UPU Taman Bunga Raya.

Dalam rakaman itu, sejumlah sepuluh penyokong BN bertikam lidah dengan penyokong-penyokong PAS.
“Jangan kacau markas kami. Kami tak kacau markas kamu. Biarkan,” kata seorang perempuan dipercayai penyokong PAS, cuba meredakan keadaan.

Menurut adik mangsa, Mohd Faris Solehin Yaakob, 23 tahun, yang terlibat dalam pergaduhan, ia bermula apabila rombongan yang diketuai MB Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman singgah ke markas PAS ketika berkempen di rumah sekitarnya.


Di Kuala Kangsar juga, bekas Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Ramly Zahari hari ini membuat laporan polis mendakwa nombor telefon bimbitnya digodam pihak tidak bertanggungjawab dan menyebarkan kenyataan berbaur fitnah.

Katanya beliau menyedari perkara itu selepas menerima balasan 30 khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada individu tidak dikenali, kira-kira 10.30 malam tadi.

Seorang lelaki menghubungi beliau dan bertanyakan identitinya selain mengatakan mengapa beliau menghantar SMS dengan menggelar seseorang dengan nama tidak baik.

"Dalam SMS itu, seolah-olah saya mengutuk dan menggelarkan mereka dengan pelbagai gelaran tidak elok jika mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar hari ini," katanya.

Beliau membuat laporan pada kira-kira 11 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, di sini.

Ramly berkata beliau terpaksa menamatkan talian telefon bimbitnya itu dan meminta siasatan dapat dilakukan bagi mengenal pasti individu yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.


Ketua Polis Negeri Perak, Datuk Seri Abd Rahim Hanafi bercakap pada sidang media pada hari pengundian Pilihanraya Kecil Kawasan P067 Kuala Kangsar di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin berkata pihaknya menerima 29 laporan bermula hari penamaan calon sehingga tamat tempoh berkempen dalam PRK Kuala Kangsar.

Ddaripada jumlah itu, tujuh kertas siasatan dibuka. Terbaru adalah melibatkan sedikit kekecohan melibatkan dua penyokong parti malam semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Keterangan mangsa dan saksi sudah diambil. Kami akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin.

Menurutnya seramai 3,000 anggota termasuk pegawai bertugas pada hari pengundian hari ini.

"Kami mula bertugas sejak 6 pagi. Mereka di tempatkan di lokasi-lokasi yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.

Abdul Rahim menyifatkan, PRK ini merupakan yang terbaik sepanjang pengalamannya mengendalikan pilihan raya negeri.

"Sejak hari penamaan calon sehingga semalam, sebanyak 161 ceramah dan tidak ada gangguan daripada mana-mana mihak. Rakyat Malaysia sudah matang dan bagi saya, ini adalah pilihan raya yang terbaik,"
 
Pengundi paling tua di Sungai Besar
Di SUNGAI BESAR: sejak hari penamaan calon sehingga 1 petang tadi sebanyak 21 laporan polis diterima antaranya melibatkan kesalahan membakar dan menconteng poster, menaikkan papan iklan berbau fitnah, mencuri dan mengadakan ceramah tanpa permit.

Polis turut mengingatkan penyokong parti yang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Sungai Besar, agar tidak melakukan sebarang perarakan bagi meraikan kemenangan mereka selepas pengumuman rasmi dibuat malam ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata ini kerana tindakan sedemikian dikhuatiri boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini selain menimbulkan rasa tidak puas hati dalamn kalangan penyokong parti yang kalah.

Abdul Samah turut memuji perjalanan kempen dan pengundian di PRK Sungai Besar yang disifatkan antara yang teraman.


Mengenai perjalanan proses mengundi hari ini, Abdul Samah berkata setakat ini ia berjalan lancar dan seramai 4,546 anggota polis dikerahkan bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sehingga pengundian berakhir 5 petang tadi.

No comments:

Post a Comment