Friday, April 22, 2016

'Ingat saya sekiranya anda tak suka calon BN' - Adenan


Disokong dengan populariti yang tinggi, penyandang Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menggesa pengundi ingat kepadanya sekiranya mereka tidak suka dengan calon-calon BN yang bertanding dalam pilihan raya negeri pada 7 Mei ini.

Dalam pertemuan tertutup semalam dengan firma gergasi pembalakan, WTK Group, pengerusi BN Sarawak itu berkata, rakyat mahu beliau terus menerajui negeri itu.
Dakwaannya itu dilihat berdasarkan populariti 81 peratus terhadapnya menurut satu kajian oleh Merdeka Center.

"Tetapi jika anda tidak suka calon BN, anda ingat saya.

"Sebagai contoh, jika anda tidak suka (Wong) Soon Koh atau (Tiong) Thai King, anda ingat Adenan," beliau dipetik sebagai berkata oleh Borneo Post.

Bagaimanapun, Adenan berkata beliau tidak boleh memenangi pilihan raya itu sendirian.
"Tolonglah mereka kerana jika mereka kalah, saya tidak boleh jadi ketua menteri. Kita berada dalam satu pasukan dan saya tidak boleh lakukannya sendirian. "

Sebelum itu, beliau mengulangi gesaannya supaya rakyat Sarawak memberinya lagi lima tahun untuk mentadbir negeri itu.

Beliau juga menyebut 50 keputusan dasar yang telah beliau laksanakan sejak memegang jawatan ketua menteri dua tahun lalu, dan menggesa pengundi supaya keluar beramai-pada pada 7 Mei.

Sementara itu,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sudah tiba masanya bagi masyarakat bandar menghargai usaha-usaha kerajaan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.

Di Sibu semalam (22 April 2016), Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri berkata penghargaan pada masa ini terhadap Sarawak, perlu diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada calon-calon BN pada pilihan raya negeri akan datang.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu bernilai RM32.2 juta di Sibu semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem pada majlis itu, yang turut dihadiri lebih 5,000 rakyat.

Ahmad Zahid berkata masyarakat di kawasan bandar menikmati banyak kemudahan yang lebih baik serta peruntukan pembangunan yang besar daripada kerajaan berbanding penduduk luar bandar.

Ahmad Zahid berkata walaupun kurang sokongan namum kerajaan tetap berlaku adil serta memberi perkhidmatan terbaik kepada semua rakyat.

"Oleh itu, saya menyeru, dengan pilihan raya negeri akan datang, masyarakat bandar mengetepikan sikap negatif terhadap kerajaan," katanya.

Mengenai UTC, beliau berkata ia merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan unik kepada negara.

Ahmad Zahid berkata UTC yang merupakan usaha transformasi kerajaan melalui Kementerian Kewangan, telah menerima pujian termasuk dari Bank Dunia, dan beliau menyatakan ia perlu dicontohi oleh negara-negara lain.

Pada masa ini, katanya, terdapat 14 UTC di negara ini (termasuk tiga di negeri ini) yang menyaksikan 11.4 juta rakyat yang mendapatkan perkhidmatan daripada pelbagai agensi utama kerajaan atau rawatan di Klinik 1Malaysia.

Beliau berkata ia adalah komitmen kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak UTC di kawasan bandar, dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di luar bandar.

No comments:

Post a Comment