Monday, October 19, 2015

NAJIB - KERAJAAN AKAN LAKSANA EMPAT LANGKAH TRANSFORMASI PERKUKUH MKN

 

Kerajaan akan melaksanakan empat langkah transformasi bagi memperkukuhkan fungsi dan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk membentangkan Rang Undang-Undang MKN pada sidang Parlimen, kali ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keperluan akta baharu itu bagi mewujudkan MKN secara perundangan sepertimana yang dilakukan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, India, Jepun, Filipina, Thailand dan United Kingdom.

"Rang Undang-Undang ini akan dibentangkan di Parlimen pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-13 (Oktober hingga Disember 2015)," katanya ketika menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Noor Ehsanuddin ingin mengetahui mengenai langkah kerajaan untuk membuat transformasi menyeluruh terhadap MKN agar ia lebih efektif dalam menangani cabaran yang kian kompleks terutama membabitkan keselamatan global mutakhir ini.

Selain itu, Najib berkata kerajaan juga akan menyemak semula Arahan-Arahan MKN dan Peraturan-Peraturan Tetap (SOP) agensi itu bagi memastikan arahan tersebut masih relevan dan boleh diguna pakai sesuai dengan persekitaran semasa.

Najib berkata pengukuhan mekanisme pengurusan keselamatan di peringkat negeri juga akan terus dilaksanakan menerusi aktiviti yang mampu mewujudkan kesiapsiagaan secara menyeluruh di peringkat akar umbi dan nasional.

Dalam melaksanakan transformasi itu, kerajaan juga mengambil langkah menggubal Dasar Keselamatan Negara bagi menterjemahkan hasrat dan pendirian kerajaan berhubung pemeliharaan keselamatan serta menjamin kepentingan strategik negara khususnya menjelang 2020.

"Dasar ini akan menjadi dasar utama yang memayungi dasar kerajaan yang lain dan akan dimurnikan bersama Dasar Pertahanan, Dasar Keselamatan Dalam Negeri dan dasar-dasar lain yang berkaitan.

"Ia juga menjadi panduan kepada agensi-agensi keselamatan untuk melaksanakan fungsi dan tanggungjawab masing-masing. Dasar Keselamatan Negara ini dijangka akan disiapkan pada awal 2016," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata transformasi seterusnya ialah mengukuhkan keupayaan modal insan melalui penempatan pegawai yang mempunyai kemahiran, pengalaman dan pengetahuan tinggi dalam menganalisa serta mengurus keselamatan negara berdasarkan gred jawatan bersesuaian.

"Ini bagi membolehkan MKN menjadi pakar rujuk oleh kementerian dan agensi berkaitan dengan ancaman keselamatan negara serta pendekatan dalam mengurus ancaman tersebut," katanya.

Sehubungan itu, Najib berharap langkah transformasi itu dapat dilaksanakan dengan semua pihak memberi sokongan padu yang tidak berbelah bahagi bagi memastikan keselamatan negara terpelihara dan dipertahankan oleh rakyat pada masa kini dan generasi akan datang.

"Sesungguhnya, ini adalah selari dengan keputusan pada 29 Julai 2015, iaitu kerajaan memutuskan bahawa peranan dan fungsi MKN, perlu diperkukuhkan supaya menjadi agensi barisan hadapan yang lebih efisien dan berkesan dalam menyelaras dasar serta strategi keselamatan negara.

Tentunya, ini berdasarkan kepada keperluan semasa dalam berhadapan dengan ancaman keselamatan yang semakin berkembang," katanya.

Menjawab soalan tambahan Noor Ehsanuddin mengenai ancaman jenayah rentas sempadan termasuk pemerdagangan manusia dan siber, Najib yang juga Pengerusi MKN berkata kerajaan menerusi kementerian dan agensi berkaitan serius menangani isu itu termasuk meningkatkan kemampuan segala sumber yang ada bagi menangkis pelbagai bentuk ancaman.

"Dalam sumbangan keselamatan serantau, kerajan melakukan dengan pelbagai bentuk dan kaedah. Antaranya kejayaan yang cukup bermakna, kita menjadi fasilitator dalam mengurus masalah keselamatan di Filipina Selatan dengan membantu kedamaian di kawasan itu," katanya.


Bernama

No comments:

Post a Comment