Showing posts with label Bajet. Show all posts
Showing posts with label Bajet. Show all posts

Wednesday, November 18, 2015

Bajet Pembangkang Tidak Realistik, Gula-Gulakan Rakyat - Penganalisis


"Pembangkangmasih kekurangan pengalaman dalam soal pengurusan dan pentadbiran kerajaan kerana cabaran yang dihadapi dalam pengurusan negeri adalah satu penanda aras kepada keupayaan mereka mentadbir." 
Dr Amini Amir Abdullah, UPM


KUALA LUMPUR (18 November 2015) - Ketika kerajaan giat berusaha mengurangkan kenaikan kos sara hidup rakyat dengan memberi dan meneruskan pelbagai insentif meliputi segenap aspek menerusi Bajet 2016, pakatan pembangkang pula menawarkan alternatif bajet yang meliputi 10 perkara utama.

Menerusi 'Belanjawan Pakatan Harapan 2016', pakatan pembangkang yang dianggotai DAP - Parti Keadilan Rakyat (PKR) - Parti Amanah Negara (Amanah), mereka membentangkan dokumen 'Belanjawan Alternatif' yang lebih menjurus kepada soal tadbir urus kewangan negara termasuk langkah-langkah penjimatan.

Meskipun pembangkang berhasrat menolak Bajet 2016 bertema 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Okt lepas, namun undian menyokong daripada anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) melebihi undi pembangkang.

Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di peringkat dasar dengan 128 Anggota Parlimen menyokong rang undang-undang itu, berbanding 74 yang menolak.

SEPULUH PERKARA UTAMA CADANGAN BAJET PEMBANGKANG

Sepuluh perkara utama yang disenaraikan pembangkang ialah meletakkan syarikat pelaburan strategik kerajaan iaitu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam pentadbiran; memisahkan portfolio Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan menyokong lanjutan tempoh perkhidmatan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz untuk dua tahun lagi.

Selain itu, turut dicadangkan dalam bajet alternatif pembangkang ialah memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan mengumpulkan semua pembekalan bawah senarai kadar sifar bagi mengurangkan inflasi; menubuhkan tabung pembiayaan petroleum untuk penduduk Sabah dan Sarawak; peruntukan kepada perbelanjaan pembinaan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura diagihkan semula kepada pembinaan landasan kereta api di Sabah dan Sarawak.

Turut tersenarai ialah penjimatan RM30 bilion daripada langkah-langkah pencegahan rasuah; mengurangkan dividen Petronas kepada RM20 bilion; penyusunan semula pembyaran bantuan kewangan secara bersyarat berdasarkan pekerjaan dan kehadiran sekolah serta menyusun semua subsidi padi dan meningkatkan hasil pengeluaran pertanian.

Mengulas kesemua cadangan yang terkandung dalam bajet pembangkang, pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Amini Amir Abdullah menyifatkan bajet berkenaan sebagai tidak realistik.

"Ia sekadar 'reflective budget' yang digunakan untuk menyaingi bajet Kerajaan Persekutuan. Pembangkang umpama bermimpi di siang hari dan cuba menggula-gulakan rakyat," katanya kepada Bernama.

Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan UPM berkata bajet pembangkang lebih bersifat responsif kepada isu semasa seperti 1MDB dan GST.

Sesuatu bajet, katanya perlu melihat secara lebih menyeluruh agar semua aspek pembangunan dapat dijayakan.

"Belanjawan ini bersifat populis kerana hanya dapat menarik perhatian rakyat tetapi asas bajet tidak begitu jelas," katanya.

KURANG PENGALAMAN PENGURUSAN

Pembangkang, kata Amini Amir dilihat masih kekurangan pengalaman dalam soal pengurusan dan pentadbiran kerajaan kerana cabaran yang dihadapi dalam pengurusan negeri adalah satu penanda aras kepada keupayaan mereka mentadbir.

Di Selangor, misalnya kerajaan negeri yang diterajui PKR berdepan dengan isu kekurangan air terawat, isu penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) dan juga kerjasama antara parti yang membentuk kerajaan iaitu PAS, PKR, DAP.

Anggota PAS, yang menjadi Exco negeri dan menyertai Amanah, menambah lagi kecelaruan. Cabaran seumpamanya turut berlaku di Pulau Pinang sebelum Pakatan Harapan terbentuk.

Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad daripada Amanah pada 9 Nov lepas dilapor sebagai mencadangkan supaya kerajaan negeri mengumumkan status kerajaan negeri sepertimana yang dilakukan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mengisytiharkan diri sebagai kerajaan Pakatan Harapan.

Selain itu, katanya pembangkang juga kurang pengalaman dalam konteks pengurusan bajet berbanding BN.

"Mereka sebenarnya mempunyai strategi picisan untuk memancing undi rakyat. Jika dibandingkan, bajet pembangkang (dengan Bajet 2016) ini umpama langit dan bumi. Soalnya sejauh mana bajet yang ditawarkan pembangkang ini mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat?

"Satu contoh mudah ialah dalam soal penyediaan kemudahan air bersih. Di Selangor, adakah wajar kerajaan negeri meningkatkan tarif air sedangkan bekalan air selalu terputus dan airnya berkeladak?," katanya.

Mohd Izani berkata pembangkang mulai sedar bahawa dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, perkhidmatan kepada rakyat tidak boleh lagi diberikan secara percuma.

"Isu bekalan air di Selangor secara percuma kini mula disemak semula oleh kerajaan negeri... isu misalnya pendidikan percuma kini sudah tidak lagi kedengaran kerana mereka mulai sedar ia akan memberi implikasi kewangan dan beban kepada kerajaan negeri," katanya.

BAJET MELEPASKAN 'BATOK DITANGGA'

Adakah bajet pembangkang ini memenuhi aspirasi segenap rakyat atau sekadar hanya mahu menyaingi Kerajaan Persekutuan atau sekadar ikutan kepada amalan parti pembangkang di luar negara yang mengeluarkan bajet alternatif mereka?

Mengulas persoalan itu, Amini Amir menyifatkan bajet pembangkang hanyalah sekadar 'melepaskan batuk ditangga', yang bermaksud melakukan sesuatu kerja dengan tidak bersungguh-sungguh.

Beliau berkata bajet yang ditawarkan pembangkang bukan sahaja tidak komprehensif malah tidak menyeluruh yang tidak mencakupi keperluan semua lapisan rakyat.

"Mengkritik orang memanglah mudah tetapi untuk melakukan seperti Kerajaan Persekutuan bukanlah semudah itu. Pembangkang perlu lebih teliti dan prihatin apabila menyediakan draf bajet mereka.

"Banyak lagi perkara yang perlu diberikan perhatian oleh mereka demi kesejahteraan dan kebahagiaan segenap lapisan masyarakat serta lebih realistik sifatnya dan bukannya bersifat kosmetik dan populis," katanya.

Mohd Izani berkata tawaran bajet alternatif adalah amalan biasa dan ia turut dilakukan oleh negara luar seperti Singapura.

"Ya. Ia berlaku dan menjadi amalan contohnya Singapura. Parti pembangkang Singapore Democratic Party (SDP) turut membentangkan bajet bayangan atau shadow budget," katanya.

Bajet 2016 memperuntukkan RM267.2 bilion, berbanding RM260.7 bilion peruntukan dipinda 2015.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM215.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM52 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.


Bernama

Wednesday, October 21, 2015

BAJET 2016 - KEPUTUSAN 'SUKAR' UNTUK CAPAT BAJET SEIMBANG MENJELANG 2020


Kerajaan terpaksa membuat keputusan 'sukar', seperti memansuhkan subsidi bahan api dan memperkenal Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), bagi membolehkan negara merealisasikan bajet seimbang.

"Seperti sasaran, kita yakin menjayakan bajet seimbang, atau hampir sedekat mungkin, pada 2020," katanya dalam ucapan pada Forum Transformasi Global di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam merealisasikan sasaran itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata beberapa keputusan sukar perlu diambil, termasuk memansuhkan subsidi bahan api, dan pelaksanaan GST, pada April tahun ini.

Kedua-duanya kata Perdana Menteri merupakan antara keputusan paling sukar yang diambil oleh kerajaan bagi menggalakkan daya saing serta meningkatkan asas percukaian dengan ketara.

"Bukan semua orang suka dengan langkah ini. Namun tindakan itu perlu untuk kita meneruskan transformasi," katanya.

Strategi perlu disusun semula bagi memastikan objektif dan hasrat negara kekal teguh serta mengekalkan wawasan jangka panjang untuk Malaysia dalam kekangan ekonomi global semasa, kata Najib.

Penurunan harga minyak dan komoditi, jangkaan peningkatan kadar faedah oleh US serta penyusutan nilai Yuan China, sukar untuk negara dagangan seperti Malaysia, katanya.

"Pelaburan semakin berkurangan. Saingan untuk pelabur global semakin meningkat, dan ekonomi kita dalam kedudukan bahaya terperangkap dalam kedudukan pendapatan sederhana. Perlu ada enjin pertumbuhan dan pencergasan," katanya.

Najib berkata negara perlu keluar daripada perangkap pendapatan sederhana untuk meneruskan matlamatnya menjadi negara berstatus pendapatan tinggi pada 2020.

"Kita perlu galakkan pertumbuhan, dan pada masa yang sama mengurangkan ketidakcekapan - tanpa berkompromi ke atas taraf hidup. Kita perlukan transformasi," katanya.

Najib berkata defisit fiskal Malaysia melalui momentum positif setiap tahun sejak bermulanya Program Transformasi Nasional pada 2010, susut kepada 3.4 peratus tahun lepas berbanding 6.7 peratus pada 2009, permulaan tahun pelaksanaan transformasi.

Pencapaian baharu dari segi defisit fiskal akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini semasa pembentangan Bajet 2016, katanya.

Pelan transformasi nasional yang meliputi Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, membantu menangani pembangunan luar bandar, pengangkutan awam bandar dan membantu isi rumah berpendapatan rendah.

"Ini menjadi inti pati transformasi kita memandangkan ia mesti berkekalan dan terangkum. Kita mahu semuanya dikongsi bersama, tanpa mengira usia, lokasi, kepercayaan dan etnik, kerana transformasi adalah untuk semua rakyat Malaysia," katanya Perdana Menteri.

Bernama