Monday, September 26, 2016

'Mukhriz Tanding Di Kedah? Datanglah, UMNO Tak Tergugat’ - Ahmad Bashah


Tak heran, datanglah bertanding di Kedah...

UMNO dan Barisan Nasional Kedah tidak gentar sekiranya bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Malah, sekalipun Mukhriz bertanding di Kedah, ia tidak akan menggugat kedudukan UMNO kerana UMNO yang  berusia 70 tahun itu telah menabur bakti kepada rakyat dan mereka mampu menilai perjuangan yang dilakukannya.

Ketika ini bekas Menteri Besar Kedah itu dikatakan akan mengetuai PPBM di Kedah dan seterusnya bertanding dalam PRU ke-14 di negeri kelahirannya itu.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu semalam (26 September) menyangkal dakwaan segelintir pihak yang menjangkakan beliau akan bertanding di Putrajaya pada PRU14 kelak.
  
Bekas Menteri Besar Kedah itu menegaskan, beliau akan bertanding di negeri yang pernah dipimpinya sebelum ini.

Ahmad Bashah...mungkin Mukhriz mahu bertanding di Kubang Pasu.

Mukhriz yang meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah pada Februari lalu adalah Ahli Dewan Undangan  (ADUN) Ayer Hitam dan pada 2008 memenangi kerusi Parlimen Jerlun.

BERSATU didakwa mendapat sambutan menggalakan apabila penyertaan terhadap parti itu kini mencecah 500,000 ahli.

Malah menurutnya, terdapat juga ahli UMNO yang menyerahkan borang bagi menyertai BERSATU.

“Ada yang berjawatan dalam UMNO sertai BERSATU, ada yang serah borang senyap-senyap kerana menunggu masa sesuai untuk umum. Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian pun ada sertai kami. Ini petanda positif.

Kita tidak paksa sesiapa, ini atas keinginan mereka yang mahukan perubahan. Ramai kalangan rakan-rakan lama dalam UMNO pun berminat, mereka mesra BERSATU tapi tetapi belum daftar,” katanya.

Mukhriz turut berharap orang ramai menyertai BERSATU di Kedah bukan kerana simpati kerana dirinya dilucutkan jawatan sebagai menteri besar.

"Saya sendiri akan mengetuai BERSATU di Kedah (Pengerusi BERSATU Kedah), malah saya juga akan bertanding di Kedah. Kawasan mana biarlah dirahsiakan dulu. Telahan konon saya akan bertanding di Putrajaya oleh pihak tertentu adalah silap. Saya pilih Kedah," katanya.

Pada 8 September lalu, Menteri Pelancongan juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Nazri Aziz pernah mencabar Mukhriz Mahathir wajar membuktikan kemenangan di Parlimen Jerlun bukan disebabkan oleh sokongan UMNO.


Nazri, meramalkan Mukhriz bakal kalah di Jerlun sekiranya pada PRU14 nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pula berkata semalam, Mukhriz yang kini menjadi Naib Presiden PPBM berhak bertanding di mana-mana kerusi seperti di DUN Ayer Hitam dan Parlimen Jerlun yang pernah disandangnya.

"Mungkin Mukhriz mahu bertanding di Parlimen Kubang Pasu yang pernah disandang bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kita alu-alukan dan kita tidak gentar untuk berhadapan dengan parti itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 Peringkat Negeri Kedah di Alor Setar, semalam.

Bagi Ahmad Bashah, mereka yang menyokong parti pembangkang, khususnya  Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu adalah yang kecewa.

Mereka dianggap sebagai puak yang kecewa  kerana tidak mendapat sebarang jawatan dalam parti di peringkat cawangan.

Parti itu  hanya disokong oleh mereka yang kecewa dengan UMNO sama seperti pemimpinnya yang kecewa dengan UMNO.

Kini mereka yang kecewa itu ada peluang untuk mendapat jawatan.

No comments:

Post a Comment